Tarikh : 8~11 Januari 2015 (Khamis~Ahad)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Gua Musang, Kelantan
Pelajar Antarabangsa UTHM sertai Misi Bantuan Pasca Banjir
Atas dasar tanggungjawab sosial tanpa mengira agama, bangsa dan negara, sekumpulan pelajar antarabangsa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terpanggil untuk menyertai misi bantuan pasca banjir UTHM ke Gua Musang, Kelantan pada 8 hingga 11 Januari lalu.
Kumpulan pelajar yang berasal dari Indonesia, Nigeria, Yaman dan Libya tersebut adalah antara ratusan sukarelawan UTHM yang terlibat dengan misi pembersihan kawasan sekolah di daerah itu yang lumpuh akibat banjir baru-baru ini.
Walaupun berbeza bahasa, pelajar-pelajar tersebut cepat membiasakan diri berinteraksi dengan penduduk setempat sekali gus menunjukkan kesungguhan masing-masing dalam melakukan aktiviti gotong royong tersebut.
Abu Bakar Siddiq Usman, Pelajar Ijazah Doktor Falsafah daripada Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan yang menyertai misi tersebut berkata bencana tersebut bukan sahaja menyebabkan kerosakan dan kehilangan harta benda, malah turut mengganggu emosi mangsa sehingga memberi tekanan dalam kehidupan seharian mereka.
“Misi kami ke sana bukan sahaja ingin menyumbang tenaga dan mengedarkan barangan keperluan,tetapi juga ingin memberi sokongan moral kepada mangsa terlibat agar mereka dapat menjalani kembali kehidupan seperti biasa,” katanya.
Menurut Abu Bakar lagi, ini adalah kali pertama beliau dan rakan-rakannya melihat kemusnahan yang teruk kesan daripada bencana ini. Seluruh kawasan sekolah, kediaman penduduk dan bangunan awam dipenuhi dengan lumpur tebal. Keadaan menjadi lebih sukar apabila penduduk menghadapi masalah kekurangan air bersih dan terputus bekalan tenaga elektrik .
Sepanjang empat hari berada di sana, beliau kagum melihat keperihatinan rakyat Malaysia yang tidak putus menghulurkan bantuan walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai dan air yang masih belum surut di beberapa kawasan.
“Bila melihat badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan serta syarikat swasta dari serata negeri hadir membawa misi yang sama, ianya menguatkan lagi semangat kami untuk bekerja keras membantu mengurangkan beban mangsa,” katanya lagi.
Selain pembersihan kawasan sekolah, mereka juga turut terlibat dalam aktiviti pembersihan kediaman salah seorang pelajar UTHM yg terjejas teruk akibat banjir. Selain itu, mereka turut menyertai kumpulan sukarelawan mengedarkan sumbangan berbentuk barang keperluan termasuklah makanan dan juga bekalan gas dari rumah ke rumah mangsa.
UTHM mula menghantar bantuan kemanusiaan sejak 28 Disember lalu ke beberapa kawasan di negeri Pahang dan Kelantan seperti Kuala Lipis, Temerloh, Jerantut dan juga Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Terkini, UTHM baru sahaja menghantar 38 orang tenaga pakarnya ke Gua Musang bagi membantu kerja-kerja teknikal di sana. Bantuan kemanusiaan ini akan diteruskan dari masa ke semasa sehingga keadaan kembali pulih.
No comments:
Post a Comment