Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Ang­kasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sebagai permulaan, sejumlah RM500 juta dana disediakan bagi tujuan itu.
“Angkasa sendiri terlibat dalam banyak projek berkaitan hartanah termasuk kira-kira 25,000 unit rumah yang nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM49 bilion.
“Langkah itu juga selaras de­ngan resolusi konvensyen harta­nah yang diadakan dengan Kong­res Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui dalam Persidangan Ang­kasa Negeri Johor 2017 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Wahid Razzaly; Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Fadilah Salim; Pengerusi Koperasi UTHM, Prof. Madya Dr. Razali Hassan; Pengerusi MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. (MyAngkasa Bina), Datuk Che Mohd. Shukree Che Isa dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Johor, Sazali Abd. Hamid.
Sempena persidangan itu, tiga memorandum persefahaman (MoU) dimeterai membabitkan GDV ke­seluruhan kira-kira RM800 juta antara UTHM dan koperasi universiti berkenaan, serta Angkasa Johor melalui MyAngkasa Bina dengan dua pihak lain.
MoU antara UTHM dan Koperasi UTHM adalah bagi pembinaan kolej kediaman pelajar di kampus Pagoh melibatkan 18 blok manakala MyAngkasa Bina pula memeterai MoU dengan syarikat Susur Gemilang bagi membangunkan 480 unit pangsapuri dan kedai pejabat di daerah ini serta MoU bersama Koperasi Wawasan Desa Pontian dan Sumber Satu Jaya untuk 818 unit rumah dan bangunan kedai di Pontian.